Thursday, April 22, 2010

KONSEP PENCERITAAN SIRI ANIMASI PERAK BOY

Konsep penceritaan untuk siri animasi ‘Perak Boy’ ini mengisahkan kehidupan seorang budak lelaki yang berumur 11 tahun yang mempunyai kuasa yang menakjubkan setelah dia jatuh ke dalam lombong bijih selama 3 hari 3 malam. Cerita ini kebanyakan berkisar di kawasan perumahan, bandar, luar bandar, tempat-tempat pelancongan negeri Perak dan sekolah. Ianya amat menarik bagi kanak-kanak kerana ‘Perak Boy’ merupakan seorang ‘super hero’ yang membantu kearah kebaikan. Konsep cerita yang berteraskan nilai murni dalam kehidupan bermasyarakat, persahabatan, kejiranan, keagamaan dan berkonsepkan satu Malaysia. Siri animasi ini juga memaparkan isu isu positif, pengajaran dan pembelajaran serta informasi tentang sains fizikal kepada penonton.

KONSEP SIRI ANIMASI PERAK BOY

Konsep bagi siri animasi ‘PERAK BOY’ ini adalah berlandaskan unsur hiburan yang positif, berinformasi serta menonjolkan nilai-nilai murni kehidupan masyarakat di Perak terutamanya dan diselitkan dengan pengetahuan sains fizik serta tempat-tempat bersejarah dan pelancongan. Diselitkan juga unsur humor yang tidak keterlaluan dan secara tidak langsung dapat mengurangkan tekanan kepada penonton dan sesuai untuk semua lapisan masyarakat. Siri animasi ini bakal menggunakan bahasa Melayu tinggi bagi memupuk semua lapisan masyarakat kearah membudayakan bahasa kebangsaan.

OBJEKTIF MELAHIRKAN SIRI ANIMASI PERAK BOY

Memperkembangkan dan mempelbagaikan cerita animasi 3D tempatan di Malaysia dan seterusnya membolehkan Malaysia mampu berdaya saing dengan siri animasi dari luar negara. Cerita animasi yang berkonsep 3D ini akan mampu memberi hiburan yang berinformasi, unsure-unsur modal insan yang positif serta pengajaran kepada kanak kanak mengenai nilai-nilai murni dalam kehidupan bermasyarakat disamping menerapkan konsep satu Malaysia.

Konsep penceritaan yang santai dan tidak membebankan penonton cilik akan menceriakan suasana dan diselitkan juga ciri-ciri humor agar dapat memperkuatkan lagi cerita. Elemen-elemen sains fizik juga ditonjolkan agar dapat memberi pengetahuan kepada penonton-penonton cilik. Sesuai ditonton oleh semua lapisan masyarakat dan pelbagai kaum. Projek animasi 3D ini menonjolkan reka bentuk karektor Malaysia yang comel, kemas dan bijak serta latar belakang yang menarik bagi menjadikan siri animasi ini lebih menghiburkan.

Bermulanya...

Idea untuk melahirkan siri animasi 3D, The Perak Boy, bermula ketika saya berada di Ipoh, Perak. Pada masa yang sama, saya sedang melatih animator-animator di Perak dalam melahirkan siri animasi KeluangMan 2. Terlintas di minda saya apa yang perlu dibuat bagi menonjolkan imej negeri Perak serta penduduknya di mata penduduk Malaysia. Maka terpancullah idea untuk menerbitkan siri animasi TV - The Perak Boy.